Showing posts with label point of view.... Show all posts
Showing posts with label point of view.... Show all posts

Friday, December 16, 2011

daurah penghayatan remaja islam

Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah, masih dapat menaip dan berkongsi luahan isi hati ni. agak lama aku tak update blog ni. sampai terlupa nak cerita pasal majlis perkahwinan kakak aku pada 2 minggu lalu. cepat betul masa berlalu...

selama dua minggu yang telah lalu, aku telah diberikan peluang untuk menjadi sebahagian daripada fasilitator untuk program daurah penghayatan remaja islam di masjid negeri selangor (masjid sultan salahuddin abdul aziz shah).

program sepanjang cuti sekolah tersebut dianjurkan sebagai mengisi masa cuti sekolah anak-anak dari seawal darjah satu hingga ke tingkatan empat dengan pengisian berbentuk keagamaan selain memupuk jati diri mereka supaya menjadi insan yang terbaik di dunia dan di akhirat.

secara jujurnya aku pun rasa tak layak nak jadi fasi untuk program macam ni. tapi tak sangka sokongan dan semangat ukhuwah yang ditunjukkan oleh kesemua fasi buat aku rasa seronok. memang terasalah ukhuwah diantara kami walaupun baru 2 minggu berkenalan. sama-sama belajar dan dalam masa yang sama aku belajar memperbaiki diri.

kebetulan sepanjang program ni aku bersama team fasi yang memegang modul untuk murid-murid rendah bawah (tahun 1-tahun3). perkara ni macam persediaan awal aku nak menghadapi murid-murid jika menjadi guru sebenar kelak. budak-budak anak orang berada yang nakal-nakal. maklumlah fitrah kanak-kanak bersih dan suci. memang kita lah yang dah besar ni bertanggungjawab membentuk mereka ni supaya hitam atau putih kelak. memang cabaran!

insyaAllah program ni aku akan diteruskan sehingga tamat cuti sekolah nanti. rabu depan ada temuduga spp pulak. doakan aku berjaya dalam temuduga ni ek.

Saturday, October 8, 2011

aku bajet bagus!

Assalamualaikum...

semoga semua sihat belaka. hari ni ada pembentangan bajet 2012. orang pandang bajet ni bajet pilihanraya. yeke? hurm.. entahlah... petang tadi ingat nak tengok pembentangan bajet keseluruhan tapi bila pm najib start je bentang terus lena. haha...

tapi lepas tu adalah jugak dengar-dengar isi bajet 2012 kat tv. biasalah kat tv semua nampak bagus tapi aku rasa nothing special la.. sorilah cakap walaupun aku ni bukan penganalisis politik dan ekonomi aku tak nampaklah benda yang menarik dalam bajet yang dibentang tu.

antara yang aku dapat tahu pencen wajib umur 60 tahun. fuh... kalau aku mula kerja jadi cikgu tahun depan umur baru 24 tahun bayangkanlah nak mengadap budak-budak lagi 36 tahun. cikgu je tahu tekanannya macam mana. huhu... yang tak tahan tu termasuk dalam berita 'gembira' untuk penjawat awam. ok~ aku tak kata pun aku tak gembira kan?

bonus 1/2 bulan gaji untuk kaki tangan awam. yang ni orang swasta banyak tak puas hati. aku pun tak faham kenapa. aku rasa gaji orang swasta lagi tinggi kalau nak ikutkan kelayakan masing-masing berbanding kerja kerajaan. lagipun bonus pekerja swasta tak mainlah setengah-setengah ni. so kena belajar bersyukur. bukan diorang bagi setiap bulan bonus ni, paling kuat masa raya. 36 tahun kerja beb!

bantuan rm100 kepada pelajar tahun 1 sampai tingkatan 5. mula-mula dengar ni aku rasa 'wow!' banyaknya nak bagi tapi bila fikir-fikir balik bukan bagi rm100 tu sebulan tapi setahun. setahun..... sekali lagi... still kena bersyukurlah kan?

kalau dari aspek perbelanjaan untuk pembangunan dan pengurusan tu aku tak berani nak komen sebab selama ni pun memang keluar angka-angka yang berbilion-bilion tapi sejauh mana penggunaannya aku masih tak jelas. so malaslah nak lebih-lebih bajet pandai. bajet... haha.

ok la ini sekadar luahan hati je sebab aku bukanlah reti sangat bab-bab analisis ni. kita tunggu dan lihat je la apa akan jadi. 36 tahun beb! =)

Friday, December 10, 2010

aku nak berubah... tapi....

Assalamualaikum...

bersempena sambutan tahun baru ni, ramailah orang yang ingin berubah. yang malas nak jadi semakin rajin, yang selalu tidur dalam kelas lepas ni nak fokus, yang berbadan besar berazam nak kurus dan macam-macam lagilah yang penting kepada kebaikan.

tapi pernah tak kita memberi peluang kepada seseorang untuk berubah?

sebagai contoh bekas penagih dadah yang ingin bertaubat. setelah lama berdamping dengan najis dadah, suatu hari hatinya terlintas untuk berubah. dengan hidayah Allah dan kekuatan jati diri ketika itu, berjumpalah si penagih ini dengan seorang ustaz di sebuah masjid. tapi kehadirannya dibalas dengan caci maki dan kutukan.

"ala... ko nak bertaubat? jangan haraplah..."

"aku tak percayalah ko nak berubah"

"sekarang je cakap nak berubah, esok buat lagi"

"muka dia ni aku tak percaya langsung nak berubah"

"sekali ko buat salah, selama-lamanya aku tak percaya dah"

banyak lagilah ungkapan-ungkapan caci yang terlintas dalam fikiran kita ni. betul tak? tak rasa negatif sangat ke? caci orang, maki sana-sini. agak-agak diri tu tak pernah buat dosa ke?

kenapa kita sering menghalang orang yang ingin bertaubat? hina sangatkah mereka? alangkah baiknya kalau kita memberi peluang untuk mereka bertaubat. bimbing mereka sebaik mungkin, beri nasihat yang sepatutnya.  bukan dengan cara meminggirkan mereka atau mencaci maki tidak tentu hala.

baiklah, dalam perkara ini aku suka membawa diri aku menyelami hati sanubari orang yang ingin berubah tu. cuba bayangkan diri kita ditempat orang tersebut. betapa sedihnya perasaan ketika itu, malah lebih teruk mungkin insan yang sedang hanyut ini kembali ke lembah kejahilan yang sama.


ingatlah rakan-rakan semua, Rasulullah s.a.w pernah bersabda,

"Semua anak Adam adalah berdosa dan sebaik-baik orang yang berdosa ialah yang bertaubat dari dosanya."

sesungguhnya kita semua tidak terlepas dari membuat dosa. tetapi Allah memberi kita ruang untuk kembali ke pangkal jalan. bertaubatlah..


memang aku akui persepsi orang berbeza, tapi mengapakah kita terus mengadili tingkah laku seseorang melalui masa silamnya? mengapa perlu mendengar daripada individu lain tanpa bertanyakan insan empunya badan terlebih dahulu?

cetek sungguh pemikiran sedemikian. maka, terpaparlah kebodohan diri sendiri yang nampak sahaja baik, tapi hati busuk umpama bangkai. ingatlah, sesungguhnya Allah cintakan orang yang bertaubat. pintu taubat Allah tidak pernah tertutup untuk hamba-hambanya. yakinlah yang seseorang itu boleh berubah.



*luahan hati, menasihati diri...

Tuesday, December 7, 2010

awal muharram: bermulanya sebuah penghijrahan

Assalamualaikum...

awal muharram atau 1 muharram merupakan permulaan kalendar baru untuk tahun hijrah. bila cerita pasal awal muharram ni perkara pertama terlintas dalam fikiran aku ialah lagu nasyid zaman kanak-kanak aku dulu.

al-ajiba - 1 muharram


Satu Muharram Detik Permulaan
Perkiraan Tahun Islam Hijrah
Perpindahan Nabi dan Umat Islam
Dari Kota Makkah ke Kota Madinah

Atas Keyakinan dan Iman Yang Teguh
Kaum Muhajirin dan Ansar Bersatu
Rela Berkorban Harta dan Nyawa
Demi Menegakkan Islam Tercinta

Hijrah Itu Pengorbanan
Hijrah Itu Perjuangan
Hijrah Itu Persaudaraan
Hijrah Membentuk Perpaduan

Oleh Itu Mari Semua
Kita Sambut Maal Hijrah
Tingkatkan Semangat Tegakkan Syiar Islam
Untuk Sepanjang Zaman

kepada mereka-mereka yang sezaman dengan aku, lagu ini memang cukup popular aku rasa (bajet dah tua sangat). sampai hari ni pun kita masih dengar lagu ni di kaca tv.

persoalannya sekarang dari segi penghayatan. kalau ditanya mengenai peristiwa awal muharram boleh tak rasa-rasanya kita hayati, fahami dan dari segi amalan pula bagaimana?

adakah sama hijrah pada zaman Rasulullah s.a.w dahulu dengan hijrah ketika ini? apakah bentuk perubahan yang sepatutnya kita lakukan kini? semoga kita semua sentiasa menjadi yang lebih baik dan sentiasa berada pada landasan kebenaran. insyaAllah...

Monday, December 6, 2010

selamat tahun baru 1432H!

Assalamualaikum...

di kesempatan ini, aku mohd wakiyuddin bin rosnan, nombor ic 8803031050** ingin mengucapkan selamat tahun baru 1432H kepada seluruh umat islam, rakan-rakan yang mengenali diri ini dan blogger-blogger yang menjadi peneman cuti aku.

semoga, dengan kehadiran tahun baru ini, kita bersama-sama berubah menjadi umat yang lebih positif, buangkan kontroversi, tingkatkan prestasi. jangan lupa tanggungjawab kita sebagai khalifah di muka bumi Allah ini. ya... andalah! hehe...

Alhamdulillah, sempat juga aku online hari ni, walaupun sekejap namun, hari ni memang hari yang agak sibuk kerana kuat sangat aku berjalan mencari barang rakan. ades~

tapi, bersyukur sebab sempatlah jugak baca doa awal dan akhir tahun tadi. sempat bersama-sama jemaah surau membaca yasin dan sedikit bontrot untuk dibawa pulang. hehe..

baiklah itu sahaja untuk kali ini, salam maal hijrah aku ucapkan dan semoga ceria-ceria selalu. eh jap2.. apa azam tahun baru anda?


(nak cepat sebab ada kawan nak belanja makan sate malam ni. hihi..)

Friday, December 3, 2010

gangguan seksual... aku atau kau?

Assalamualaikum...

bila cerita pasal gangguan seksual ni kebanyakannya kes di malaysia berlaku kepada kaum hawa. ia melibatkan gangguan emosi, tekanan jiwa dan sebagainya. bila orang mengalami gangguan seksual kebanyakan mereka akan mengalami kemurungan dan mempengaruhi prestasi kerja atau pelajaran.

ihsan google
baru-baru ni aku ada berjumpa seorang rakan dan beliau mengeluarkan pernyataan ini "siapa kata perempuan selalu kena gangguan seksual? lelaki hari-hari kena gangguan seksual"

ok kita lihat pula apa yang dimaksudkan dengan gangguan seksual.

"gangguan seksual adalah sebarang kelakuan berunsur seks yang sengaja dan tidak dikehendaki, diundang atau diminta..." selanjutnya klik sini.

baiklah kita lihat keadaan sekarang. konsep pemakaian wanita masa kini kebanyakannya berniat untuk menonjolkan diri. bila nak menonjolkan diri, maka 'benda-benda' tu lah yang ditonjolkan. bila aku fikir-fikir balik kadang-kadang benar jugak kenyataan kawan aku tu.

"pakai baju ketat, dedah sana dedah sini, lenggok jalan yang menggoda dan wangian-wangian yang menarik perhatian". kelakuan ni termasuk dalam maksud gangguan seksual di mana kelakuan ini disengajakan dan kami lelaki tidak mengkehendakinya, sama sekali meminta-minta.

selaku insan yang bergelar lelaki, kami juga akan terseksa batin, jiwa meronta-ronta, dan mungkin ada sesetengahnya akan mengalami kemurungan. cuba bayangkan keluar rumah je terima gangguan seksual. bukan kami pinta, tapi perbuatan tu disengajakan.

walaupun aku sedar, sesetengah lelaki memang ada yang suka keadaan ni, tapi kena ingat ada juga sebahagian besarnya mungkin sangat benci keadaan ini. maklumlah, keluar rumah dapat dosa kering tak pasal-pasal.

apa yang ingin aku suarakan pada entri kali ini ialah, kepada wanita-wanita yang aku hormati sekalian, hentikanlah gengguan seksual terhadap kaum lelaki. kembalilah kepada tatacara pemakaian muslimah yang sebenar. kami dah cukup terseksa dengan keadaan ini. tutuplah aurat sebaik mungkin.

wassalam...




*maaf kalau entri ni ada mengguris hati mana-mana pembaca. tujuan aku hanyalah untuk berkongsi pendapat.
*sekadar luahan hati seorang lelaki biasa. yang baik sama-sama ambil iktibar. yang tak baik buang je jauh-jauh.
*sila komen jika ada penjelasan lanjut. =)

Wednesday, December 1, 2010

biasalah, naik turun ni...

Assalamualaikum...

"ala.. biasalah harga minyak turun naik ni."


azlan
http://malaysiakini.com/news/149636
siapa kata harga minyak turun naik ni biasa? naik biasalah tapi turun tak biasa kot. baru dua kali turun. hari ni minyak petrol ron 97 naik lagi. kalau sebelum ni rm2.15 sekarang dah rm2.30. jom tepuk tangan...

kita tahu harga minyak petrol dunia untuk ron 97 tengah naik sekarang. tapi apa yang mereka buat untuk mengatasinya? ok naikkan harga minyak. selesai cerita. ok tepuk tangan lagi...

"rakyat perlu berjimat cermat". bila harga minyak naik, harga barang pon automatik naik. macam mana nak berjimat? lagi satu, rakyat je ke kena berjimat? pemimpin pula bagaimana? tepuk tangan lagi... yeay!

tapi kan, korang tak rasa macam benda ni dijadikan macam kebiasaan. mula-mula kita memang kuat menentang. bila dah selalu sangat orang pun dah penat, malas. lepas ni kalau naik lagi lantak koranglah. tepukan sekali lagi...

entri ni bukan nak buat siapa-siapa terasa. tapi ni perasaan aku je. aku ni suka touching. jadi jangan salahkan orang ramai kalau nak touching. salahkan diri sendiri yang buat orang touching. tepukan gemuruh!

Sunday, November 28, 2010

i'm proud to be a muslim =)

Assalamualaikum...

kepada kawan-kawan semua, tak salah rasanya kalau aku curi masa korang 7 minit sambil berblogwalk, blogjog dan sebagainya untuk menghayati video yang aku nak tunjukkan ni.


kadang-kadang kita tak sedar pun betapa betuahnya kita dilahirkan sebagai seorang muslim. bila tengok video ni sedikit sebanyak dapat menyedarkan kita. sepatutnya kita bersyukur kerana peroleh hidayah Allah sejak kita mula mengenal dunia. sama-samalah kita berdoa agar Allah sentiasa memberi rahmat dan hidayah kepada kita.

mungkin ada sesetengah rakan yang dah pernah tengok video ni. saja aku kongsi kat blog aku ni sekadar ingin menyatakan betapa bersyukurnya aku menjadi seorang muslim =)

Friday, November 26, 2010

bukan sekadar angan-angan

Assalamualaikum...

jalan-jalan kat blog otai-otai blogger ni membuatkan aku rasa semangat nak berblogging. tadi aku sempat jalan-jalan ke blog abg ben (otai blogger ni) yang rata-rata blogger semua kenal. bukan apa, aku pun akui seronok membaca entrinya yang simple tapi seronok.

betul kata abg ben nak sukses dalam blog ni bukan angan-angan tapi nak berjaya mesti ada usaha dan tawakal ye dak? kita mula dari kosong lepas tu naik sikit-sikit. yang penting ada semangat nak belajar dan sentiasa mencari ilmu-ilmu baru. 

walaupun aku rasa aku masih jauh lagi nak capai tahap seperti otai-otai blogger ni, tapi semangat tu aku rasa tengah ada sekarang ni. maklumlah musim-musim cuti ni banyaklah pulak masanya nak explore dunia blogging ni. nanti dah mula semester baru, dengan praktikum dan final project mesti aku dah tak ada masa nak blogging ni.

terima kasihlah kepada yang sudi follow blog aku ni. tanpa sokongan anda semua apa sangatlah blog ni. setakat ni banyak benda yang aku masih tak puas hati dengan blog aku. banyak lagi nak kena belajar. rasa macam nak buat blog baru pun ada, tapi sayang pulak dah ramai follower. jadi, ada baiknya aku setia dengan blog aku ni.

sekian je celoteh lepas jumaat aku. bukan khutbah jumaat ye. sekadar lontaran perasaan dalam bentuk tulisan. skema la pulak ayat aku. haha... ok lah selamat hari jumaat semua!

Monday, November 22, 2010

tak nak jadi cikgulah macam ni...

Assalamualaikum...

aktiviti aku untuk hari ini ialah pergi potong rambut. baru berapa hari kat rumah mak dah bising sebab rambut aku panjang. lama gak tak potong rambut sejak sebelum mula praktikum yang lalu sampai sekarang.

so, on the way balik tu aku singgah pasaraya billion sabak beli body spray dan beli surat khabar harian metro kat kedai mamak berhampiran (dah lama tak beli paper).

bila cerita pasal surat khabar ni entah kenapa tiba-tiba hari ni aku terasa nak tengok kat bahagian 1klassified. ala kat area iklan-iklan tu. rupa-rupanya bahagian tu ada macam-macam iklan dari kerja kosong, kereta terpakai sampailah jual-beli tanah.

tengah seronok tengok tawaran kerja-kerja kosong tu tiba-tiba ada satu pekerjaan yang membuatkan aku terkejut sekejap dengan jumlah gaji yang diberikan. "kerja kosong cleaner di singapura gaji $1200 bersamaan dengan RM2850." waa!! nak jadi cleaner kat singapura la macam ni.

agak-agak gaji seorang guru kat singapura berapa ya? sebab aku pernah difahamkan tangga gaji kedua tertinggi sektor kerajaan di singapura selepas doktor adalah menjadi guru. hurm... kat mana silapnya negara kita ni?

ya, mungkin negara kita banyak subsidi, tapi itu pun dengar cerita nak ditarik sedikit demi sedikit. apa cerita? ok senang macam ni lah, ambillah semua subsidi tu kalau nak sangat tapi sistem tangga gaji tukar macam kat singapura. boleh?

ihsan google

ok tu sahaja ngomelan aku hari ni. sekadar luahan perasaan yang penuh dengan persoalan-persoalan pelik dalam kepala. mungkin inilah sebabnya ramai rakyat malaysia beerhijrah ke negara lain. mungkin...

Saturday, November 20, 2010

autoblogwalk...

Assalamualaikum...

pernah tak korang dengar pasal benda ni? sejak berkecimpung dalam dunia blog ni aku mula kenal apa itu blogwalk, melawat blog kawan-kawan dan membaca entri-entri baru.

aku difahamkan ada satu software untuk blogwalk tanpa perlu buka page banyak-banyak dan terpaksa menaip satu-persatu nama dan link kita. apa pendapat korang mengenai perkara ini?

secara jujurnya bagi aku, pengguna autoblogwalk ni merupakan orang yang tak ikhlas berblogging. tujuan mereka hanya ingin menaikkan trafik blog mereka tanpa perlu bersusah payah dan mengaut keuntungan. bila link kita ada di mana-mana blog sudah tentu trafik kita naik bukan?

baiklah, malas nak cerita panjang kalau korang ada idea nak kongsi bolehlah komen entri ni.



*hari ni ke ipoh bersama-sama mak dan bapak aku sebab ada kenduri dan singgah sebentar di rumah sewa untuk ambil barang-barang rumah. doakan keselamatan kami ye.

Saturday, October 30, 2010

umur bertambah atau berkurangan?

Assalamualaikum...

kadang-kadang bila bosan aku suka keluarkan status kat facebook untuk membuat pemantauan (survey). tapi kadang-kadanglah sebab selalunya aku suka mengarut je bila keluar status kat facebook tu. haha...

semenjak dua menjak ni aku rasa macam hari-hari aku ni panjang sangat sebab memang tak buat apa. banyak masa aku habis kat depan netbook baca entri baru dalam blog orang (aku je malas keluar post baru), tengok artikel-artikel baru laman web ustaz-uztaz yang best, blogwalk dan facebooking. ikutkan hati aku memang nak balik rumah je sementara nak tunggu exam minggu depan. tapi "commitment to the game" la katakan.

kalau nak diikutkan musim-musim exam ni kenalah struggle sikit baca buku tapi entahlah mood exam aku tak sampai lagi ditambah pulak dengan jumlah paper exam yang sikit (3 paper je) semester ni.

tiba-tiba beberapa hari ni aku mula terfikir satu perkara.

"umur kita ni bertambah ke berkurang ek?"

untuk mendapatkan jawapannya aku post la status kat facebook "setiap tahun umur kita bertambah ke berkurang?" lepas aku post je status ni adalah dua tiga rakan yang like dan ada juga yang bagi komen masing. ada rakan yang reply gaya main-main pun ada (aku pon selalu tak serius. padan muka! haha...) dan ada jugak yang reply dengan serius.

antara jawapan yang kawan-kawan aku bagi boleh tengok kat gambar bawah ni.

klik untuk tumbesaran


2 komen last tu adik aku dan anak murid aku

melalui survey yang aku dah buat tu (eceh..), ada beberapa orang yang cakap makin bertambah, ada pula yang cakap umur kita semakin berurang dan tak kurang ada yang cakap kedua-duanya sekali. masing-masing dengan alasan masing-masing kenapa mereka memilih sedemikian.

tapi baru-baru ni jugak aku sempat membaca sebuah buku bertajuk "munajat malam: bimbingan lengkap ibadah malam" oleh Yusni A. Ghazali yang dihadiahkan oleh adik junior sekolah aku dulu (ehem2.. i'm still single k) dan dalam buku ni dia cakap pasal umur manusia. sedikit potongan ayat yang aku ambil dari buku ni:

"Saudaraku, ramai ulamak mencela tawa ria secara berlebihan. ini adalah kerana jika manusia dapat merenungi dirinya dan segala amalan perbuatannya, sudah tentu mereka akan menangis. mereka akan memikirkan tentang dosa yang kelak akan dibalas dengan seksaan. Malah semakin hari, dosa semakin bertambah sedangkan umur semakin berkurangan [semakin tua]. Kesempatan untuk berubah dan menghapuskan dosa pun semakin berkurangan..."

kalau ikutkan ayat kat atas ni memang umur kita berkurangan atau nak sedap lagi makin hari makin tua. sedar tak? walau sejauh mana pun korang awet muda, secomel mana pun korang, walaupun kulit korang tegang, walaupun korang hensem/cantik dan sebagainya, hakikat sebenar anda dah makin tua. betul tak? maknanya masa hidup dah kurang. masa nak bertaubat pun berkurangan. masa yang dekat apa? kematian...

jadi aku selaku yang tak berapa pandai berhujah ni pun nak nasihatkan anda semua termasuklah diri aku sendiri supaya sering ingat ni. umur biologi (betul ke?) kita semua memang bertambah tapi hakikat sebenarnya umur kita sebenarnya semakin singkat. kita makin dekat dengan mati dan mati itu pasti. agak-agak mampukah bekalan yang kita ada sekarang ini untuk dibawa ke akhirat kelak? itu kita sama-sama renungkan sendiri. aku menulis atas dasar kesedaran yang tak tahu lagi sampai bila boleh bertahan (biasalah iman manusia ni naik turun). jadi ada kesempatan eloklah aku kongsi betul tak?

apa pulak pandangan korang semua pasal umur kita ek?

Thursday, October 28, 2010

hab pusat hiburan malam terkemuka: apa arah tuju negara kita?

Assalamualaikum...

mengikuti perkembangan pembangunan dan ekonomi di malaysia memperlihatkan pelbagai perubahan dan projek-projek baru yang ingin dilaksanakan oleh pihak pemerintah. kalau dulu isu bangunan 100 tingkat dan IFF, kini pula timbul isu menjadikan malaysia sebagai hab pusat hiburan malam terkemuka pula. aku bukanlah pandai dengan isu-isu begini tapi tak mungkin aku setuju dengan cadangan tersebut. gila apa?

terasa bagaikan negara kita ini terlampau terdesak dengan sumber-sumber pendapatan pelancongan berteraskan nafsu semata. alangkah baiknya industri pelancongan di malaysia terkenal dengan tempat peranginan yang cantik dan orang-orangnya yang ramah dan berbudi pekerti. bukannya bila sebut malaysia apa yang terlintas di dalam kepala para pelancong hanyalah pusat hiburan, judi dan pelacuran.

negara islam. ya itu yang selalu digembar-gemburkan oleh mereka. tapi tindak tanduk langsung tak melambangkan kedaulatan agama islam itu terbela dan disanjung. adakah ianya sekadar laungan semangat musim-musim pilihan raya atau pun ketika isu orang bukan islam masuk ke masjid timbul? fikir-fikirkanlah semua. jangan sampai orang luar sesuka hati mempertikaikan sejauh mana islamnya kita disini.

teringat satu post dari drmaza.com tentang lawatannya ke shanghai menyertai rombongan vvip melawat shanghai world expo 2010. dalam lawatan tersebut setiap negara yang menyertainya akan disediakan satu tempat/pavilion tersendiri untuk mempromosikan negara masing-masing. namun, apa yang beliau dapat ketika melawat pavilion milik negara kita seperti ada yang tidak kena (selanjutnya baca link ini). adakah ianya disengajakan ataupun tidak? sepatutnya kita yang mengagungkan islam sebagai agama rasmi perlulah lebih mempamerkan negara kita dengan keunikan senibina islam dan penganutnya bukan bangga dengan pusat perjudian genting!


perkara ini juga telah diulas oleh ustaz zaharuddin dalam blog tulisannya bertajuk "mengapa industri nafsu ingin diperluas?" (selanjutnya baca link ini). sudahlah negara sendiri tak mempromosikan agama islam, ditambah pula dengan industri nafsu yang semakin digalakkan oleh pemimpin! di mana maruah kita?

harapan aku agar para pemimpin yang terlibat dapat berfikir dengan rasional. bukan sibuk mencari penyelesaian menangani gejala buang anak dan rogol yang berleluasa dengan membuat sekolah untuk mereka yang terlanjur. penyelesaian boleh bermula diperingkat pemimpin tertinggi negara. bukan dengan meningkatkan ekonomi dengan pusat hiburan tapi lebih banyak mengimarahkan institusi-institusi agama dan masjid-masjid. renung-renungkanlah...


link-link berkaitan: link 1, link 2

Monday, October 11, 2010

schadenfreude dan tragedi 10/10/10

Assalamualaikum...

tarikh keramat 10/10/10 berakhir sudah dengan ramai orang yang mengambil peluang pada tarikh yang cukup unik tersebut untuk melakarkan sesuatu yang dianggap bermakna untuk diri masing-masing. namun, pada tarikh ini jugalah berlakunya kejadian yang cukup tragis dalam negara kita di mana berlakunya nahas ngeri membabitkan dua buah bas ekspres, 3 buah kereta dan sebuah van di kilometer 223 lebuh raya utara-selatan yang meragut 12 orang termasuk 38 orang cedera dan 10 daripadanya parah. (link 1, link 2)

sudah tentu tragedi ini mendapat liputan meluas di dada akhbar dan kita sendiri yang mungkin tidak ambil tahu mengenai perkara ini sudah pun sendiri mengetahuinya melalui rakan-rakan dan sebagainya. takziah aku ucapkan kepada keluarga mangsa nahas ngeri ni. lepas ni mesti undang-undang jalan raya pun semakin ketat. patutlah orang cakap "jumlah rakyat malaysia yang meninggal dunia akibat kemalangan lebih ramai dari jumlah kematian di gaza". (ok maklumat ni aku pakai tulis je) tapi kesimpulannya aku pun tak tahu mana silapnya macam mana boleh terjadinya tragedi-tragedi ngeri macam ni kat malaysia.

tajuk tertulis kat atas tu ada sebut pasal schadenfreud kan? ok sebelum tragedi ini berlaku pun aku dah pernah terbaca mengenai istilah schadenfreud ni kat laman web saifulislam. lepas baca tu aku terus je share kat facebook. bukan apa, aku rasa trend kongsi-mengkongsi (share) ni semakin popular di facebook sejak akhir-akhir ni. sampai satu tahap tu aku rasa trend ni perlu ada had dan batasnya.

baiklah kita tengok apa yang selalu orang share kat facebook.
1. video slot ceramah ustaz-ustaz (bagus!)
2. video lagu-lagu (tengok pada lagu)
3. notes cintan-cintun (tak bagus sangat)
4. notes agama dan ketuhanan (bagus!)
5. share link laman web (ok je..)
6. video lawak/kelakar (ketawa penawar duka... depend)
7. video dan gambar pelik. (lead to schadenfreud)

baiklah senarai kat atas tu antara bahan-bahan yang selalu orang share kat facebook. mungkin ada yang tertinggal tapi setakat ni tu la yang dapat aku kongsi (share) dengan anda semua.

baiklah sekarang aku nak membawa kepada item nombor 7 iaitu video dan gambar pelik. sebenarnya aku pakai letak je sebab tak ada yang spesifik aku nak cakap pasal item nombor 7 tu. video dan gambar pelik yang aku maksudkan kat sini adalah mengenai video-video dan gambar-gambar tragedi nahas ngeri dan sewaktu dengannya.

hari ni, bila aku balik je program BIG dan buka facebook mulalah tersebar video dan gambar nahas ngeri 10/10/10. bila ada orang share mestilah nak tengok dan sejurus selepas aku tengok je video tu tiba-tiba aku teringat dengan blog saifulislam. Allahuakbar... ngeri sungguh. sekali je aku tengok video tu sebab tak sanggup nak ulang balik. mayat bergelimpangan... Allah...


schadenfreud... ya inilah yang aku maksudkan. mungkin tujuan orang yang upload video dan mereka yang share benda ni semuanya berniat baik untuk tujuan menginsafkan. tapi sedarkah anda semua bila perkara perkongsian imej-imej dan video berbentuk penderitaan orang lain ini berleluasa ia akan menimbulkan satu tanggapan perkara-perkara ini adalah biasa. ok senang nak faham macam ni lah, aku suka tengok video orang kemalangan, gambar kemalangan dan sewaktu dengannya. pada mulanya memang perasaan takut dan insaf mula timbul dalam diri. lama-kelamaan bila perkara ini menjadi biasa apa yang berlaku ialah benda ni akan membunuh sensitiviti orang yang tengok ni terhadap perkara yang berkaitan. (baca link ini) schadenfrued yang dimaksudkan di sini adalah apabila timbul kepuasan atau nikmat melalui penderitaan orang lain.

perkara ini jika di biarkan sahaja tanpa kawalan akan memudaratkan. jika ingin maklumat lanjut sila baca link yang aku bagi sebab aku nak jelaskan pun tak berapa nak reti. baiklah kesimpulannya kat sini aku cuma nak anda semua fikir-fikirkan semula sebelum share apa-apa sahaja kat facebook tu. bukan setakat pada schadenfreud ni tapi lebih luas lagi terutama soal maruah orang, khabar angin dan maklumat yang salah. pastikan tu semua sahih dahulu sebelum nak share apa-apa. boleh rosak jiwa... ish3... ok la aku pun dah tak tahu nak cerita apa sebab memang dah panjang lebar aku taip. renung-renungkan dan selamat beramal.

Monday, October 4, 2010

permulaan sebuah perjuangan...

Assalamualaikum...

Alhamdulillah... pilihanraya kampus IPG kampus ipoh telah pun selesai pukul 6 petang tadi. setelah penat lelah selama seminggu aku dan rakan-rakan lain sebagai SPR memastikan pilihanraya ini menjadi kenyataan akhirnya hari ini ianya berakhir juga. ternyata jangkaan aku tepat mengenai pemenang. walaupun secara jujurnya aku pun tidak berkenan dengan pemenangnya namun itulah yang di pilih, itulah yang anda pilih, itulah yang kita pilih.

balik rumah bila buka fecebook keluarlah macam-macam spekulasi dan bantahan mengenai keputusan pilihanraya tersebut. ada suara-suara sumbang menyalahkan sesetengah pihak di atas kekalahan tersebut. bagi aku siapa kita nak tentukan pemenang? adakah meletakkan mana-mana calon tertentu itu kita yakin akan beroleh kemenangan? mungkin ya. adakah masa depan kita dengan calon tertentu itu akan lebih baik? ya... jangan terlampau yakin dengan tafsiran akal yang ternyata belum tentu benar salahnya.

ya memang benar persoalan akan timbul bagaimana sebuah institusi pendidikan yang majoritinya melayu islam tetapi mempunyai pemimpin seorang yang berbangsa lain dan bukan islam? aku menulis bukan atas dasar rasis kerana memang sepatutnya kita reflek diri kita dan ukhuwah sesama bangsa kita bangsa melayu, islam. kesedaran dalam kalangan pelatih muslim aku kira sangat rendah. undi rosak siapa? sekadar seronok memangkah tanpa memikirkan akibatnya. setarakah ukhuwah kita kalau nak dibandingkan publisiti dan manifesto manis yang telah ditabur? nah, terimalah balasannya.


pada pendapat aku, perkara ini kita perlu lihat dari sudut positifnya. harapan aku agar sebahagian perwakilan yang beragama islam supaya bangun memartabatkan ukhuwah islamiah antara sesama muslim di IPG kita. sedih aku tengok kawan-kawan yang benar-benar mengharapkan kemenangan namun akhirnya terpaksa akur dengan istilah majoriti. jangan risau kita masih ada NYDP yang aku kira sangat berkaliber dan layak untuk berada dalam jawatan tersebut dan tidak keterlaluan jika aku katakan mungkin lebih layak menerajui tampok pemerintahan di IPG kita berbanding beliau. mungkin akan datang... oleh itu, ikhlaskan hati dan tabahlah menghadapi cabaran yang mendatang. aku yakin anda semua mampu... dengan adanya anda semua aku akan tetap menyokong jpp.

“Sesungguhnya Allah akan menguji dan mencuba salah seorang di antara kamu dengan cubaan sebagaimana salah seorang kamu menguji kadar emasnya dengan api. Maka sebahagian mereka akan keluar dari ujian itu bagaikan emas kuning berkilat; maka itulah orang yang dipelihara Allah daripada bermacam syubhat. Dan sebahagian mereka akan keluar bagaikan emas hitam, dan itulah orang yang tergoda fitnah.” – Hadis riwayat Thobrani

tabahlah anda semua. kami masih ada suara anda dalam jpp...

kepada suara-suara sumbang yang masih tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut aku harap agar terimalah kenyataan. bagi aku suara-suara inilah yang seringkali memecah belahkan kita. berhentilah menabur fitnah dan andaian yang palsu dan hanya omong kosong itu. sampai bila nak salahkan orang kalau kesalahan sebenar akan berbalik kepada kita? mengutuk mencaci bangsa sendiri. malu aku tengok. sudahlah... aku muak dengan kata-kata maki itu. aku muak dengan umpatan itu. aku muak...

Monday, September 6, 2010

dari mata turun ke hati...

Assalamualaikum...

lokasi: sabak bernam (dah balik kampong!)

perasaan memang antara suatu perkara yang amat ditakuti oleh insan bernama mohd wakiyuddin bin rosnan. tapi percayalah, insan ini seperti insan biasa yang lain iaitu mempunyai hasrat untuk bahagia. haish~ merepek pulak. haha...

malam ni adalah malam ke 27 ramadhan. malam ni ke lailatul qadr? wallahua'lam...

hari ni aku buat terawikh kat pekan sabak bernam, saja nak ubah angin sembahyang kat luar kawasan. masjid kat selangor imam terawikh dia tahfiz. sedap betul suara ustaz tu baca ayat-ayat al-quran tadi. lagi satu masjid yang aku pergi tadi siap ada paparan lcd ayat al-quran yang ustaz tu baca masa terawikh berjalan. terkagum sebentar sebab selama aku terawikh kat ipoh tak pernah ada lagi yang macam tu. mungkin sebab aku jarang ke masjid-masjid lain.

habis terawikh tu sempat sms kawan-kawan sekapal yang masing-masing belajar diperantauan dan dah balik kampung untuk berhari raya macam aku ajak diorang keluar minum. so plan kami berjumpa di restoran kat pekan dan story mory la panjang lebar pasal kehidupan masing-masing setelah lama tak berjumpa. yang aku tak puas hati benda yang ditanya mesti sama. "ko ngn sape sekarang?", "awek hari tu mana?" dan macam-macam lagilah hal yang berkaitan. so jawapan aku nak cover senang je "tahun depanlah... haha"

kembali kepada perenggan satu post aku ni "aku masih belum berani nak serius dengan perasaan orang" dengan kata lainnya aku belum nak serius. jadi daripada tak serius baik tak payah ada komitmen lagi kan? hehe... aku tak suka main-main. so memang kena cari yang betul-betul nampak masa depannya dengan aku. benda-benda macam ni memang aku pandang serius.

tapi satu nasihat daripada rakan aku adalah "ko jangan malas-malas cari sekarang ni sebab nanti ko dah besar pun ko malas nak kahwin ko suruh mak ko carikan..." fuh~ memang makan dalam sebab awal-awal dulu aku dah cakap kat mak aku suruh carikan. hehe...

kesimpulannya kat sini, post aku kali ni lebih kepada peribadi akulah dan kalau nak kata promote tu adalah jugak kot. haha~ peduli apa aku. mungkin betul kawan-kawan cakap aku memilih sangat tapi nak buat macam mana sebab pilihan di tangan aku. hehe... kalau ada, adalah. kalau tak ada takkan nak teriak. so tabahlah wakiyuddin~

oleh itu, di kesempatan ini aku nak ucapkan seribu satu kemaafan kepada rakan-rakan blog aku, sesiapa yang membaca blog aku selama ini walaupun kadang-kadang post aku tak ada kena mengena pun dengan diri korang, kepada sesiapa sahaja yang mengenali aku dengan ucapan ampunkanlah insan bernama mohd wakiyuddin ni kalau ada terMAKAN, terMENGATA, terKUTUK, terSEPAK, terTERAJANG dan yang sama waktu dengannya tu. MAAF ZAHIR BATIN. siapa yang rumah dekat tu jemputlah datang ke rumah ye. jangan segan-segan. selamat hari raya bloggers!

mood: malam tujuh likur...

Wednesday, July 21, 2010

macam mana ek?

Assalamualaikum...

dalam kehidupan sehari-hari aku jumpa ramai orang. perangai pulak macam-macam. ada orang yang sempoi, gila-gila, alim, baik, ramah dan sebagainya. memang benda ni mewarnai hidup aku lah. tapi dalam banyak-banyak yang ok tu ada juga yang tak ok sebenarnya. tak tahulah kita yang tak ok ke tak pun dia yang tak ok.


satu perangai orang ni yang aku tak faham ialah perangai orang yang nak kita hormat dia tapi dalam masa yang sama dia memang tak suka kat kita. kita jumpa kita senyum tapi dia buat muka ketat. ok tak apalah tapi ada sekali kita dekat ingat nak sembanglah tapi dia boleh pulak blah macam tu je. aduss... sakit hati jugak kadang-kadang.

kita ni kadang-kadang ada tahap segan tu. sebab kadang-kadang orang yang kita nak ramah tu bukan sama jantina. kita nak tegur sebab mungkin dia lebh tua daripada kita. bukan apa kalau kita dah banyak kali dah cuba nak menjadi orang yang paling ramah tapi tengok orang tu boleh pulak buat muka sardin dia memang tebal muka ni nak tegur banyak kali.

tahu-tahu je ada orang tegur cakap ada orang tak puas hati dengan kita sebab kita sombong katanya. tak tahulah, kita ni masih dalam proses belajar tapi kalau orang buat kita macam ni memang down gak member. tak membantu langsung masalahnya...

ok post ni sekadar luahan perasaan aku nak share kat kawan-kawan. sebenarnya banyak lagi ragam orang yang kita tak boleh faham. apa-apa pun akan ku coba tegur orang tu walau pun aku terpaksa berlakon dahulu. kalau tak boleh jugak terima je la nak buat macam mana. apa-apa pun kalau kita dah masuk satu-satu komuniti memang benda-benda macam ni la yang kita akan jumpa. kena pandai adaptlah. jangan sampai tak boleh buat kerja sudah...

sekian~

Monday, May 31, 2010

betulkan niat...

Assalamualaikum...

menceburi bidang teater di ipg merupakan salah satu cabang untuk aku menuntut ilmu. kalau di sekolah dulu, perasaan malu menjadi batu penghalang aku mengikuti persembahan teater, namun kini perasaan itu sedikit sebanyak hilang setelah 3 tahun setengah di ipg. Alhamdulillah sekarang aku adalah sebahagian daripada kumpulan teater ipg ipoh.

bidang teater memang minat aku dan aku memilihnya di atas beberapa faktor. antara faktor aku mengikuti bidang teater ini adalah disebabkan ia merupakan salah satu cara untuk menyampaikan mesej kepada orang ramai. selain itu, dengan berteater aku dapat meluahkan karekter-karekter sebenar aku yang selama ini di pendam (masa ni la boleh tengok aku yang lain) dan yang paling penting berteater dapat meningkatkan keyakinan diri aku berada di depan orang ramai. penting tu sebagai seorang cikgu...


seperkara yang di titik beratkan dalam kumpulan teater yang aku ceburi ini adalah berkenaan dengan niat. seringkali niat menjadi kayu ukur keberkesanan mesej yang ingin di sampaikan. "jangan sampai ada niat kita buat teater ni nak menunjukkan kehebatan kita" itu pesanan yang sering diulang-ulang sebelum dan selepas latihan.

hari ni Alhamdulillah aku dan rakan-rakan teater yang lain telah pun berjaya membuat persembahan bersempena sambutan hari guru peringkat ipg ipoh. secara keseluruhan persembahan tadi memberangsangkan walau kalau ikutkan ramai yang tak naik 'syeikh' mungkin atas pelbagai faktor seperti ruang yang terlampau besar dan pencahayaan yang tak sesuai mungkin.

walau apapun benda dah berlaku dan ramai juga yang terkesan dengan babak yang pelbagai diselit dengan unsur humor, serius dan sedih. sebab ada yang ketawa dan ada yang menangis. dengan ini harapan aku agar pelatih-pelatih yang lain juga dapat mengembangkan bakat masing-masing dalam bidang teater. bilalah dewan seri tanjung dapat digunakan? haish~

Wednesday, May 26, 2010

FB vs UMMA-United

Assalamualaikum...


Alhamdulillah... peperiksaan aku tinggal lagi satu paper je esok. tapi paper tadi macam aku banyak goreng je... huhu~ nasib baik semua yang aku baca keluar. bolehlah jawab semua tapi ada sikit-sikit lupalah.

haa... semalam aku baru je berkenalan dengan laman web sosial baru ni UMMA united.com. 'uu' ni juga merupakan laman sosial lebih kurang FB jugalah. aku tertarik kat laman ni sebab ia lebih bersifat islamik. aku difahamkan orang yang buat laman ni pun orang islam (Emmanuel-Yamin Dubuc). lagipun kita tahukan macam-macam cerita pasal FB. ada baik ada buruknya dan ada yang cerita FB ni senjata orang yahudilah. aku rasa semua orang tahu. kalau search google pasal facebook ni memang nanti ada cerita yang memang diorang tengah kumpul maklumat pengguna FB. (senang-senang je mereka nak serang kita)

aku rasa dah sampai masanya kita berubah arah kepada UMMA united ni. tapi ingat! ini laman islamik, jadi janganlah upload gambar yang bukan-bukan macam nak bagi siapa tengok ntah. boleh kan? nak post apa-apa pun kalau boleh ke arah islamik sikit. tak payahlah hantar post cintan-cintan dunia yang tak membawa faedah kat orang yang nak baca tu nanti. kalau bukan kita orang islam yang yang nak islamikkan benda ni, siapa lagi? fikirkanlah...


*mungkin dah sampai masanya umat islam bersatu.

Sunday, May 16, 2010

kau ibarat lilin... eh silap, pelita... guru~

Assalamualaikum...

guru, kau ibarat lilin, kau ibarat pelita, satu ungkapan yang sering kali keluar dari bibir-bibir insan, tatkala hari guru tiba.

layakkah guru diibaratkan seperti lilin? membakar diri untuk menerangi orang lain. sanggup mengorbankan diri semata-mata untuk orang lain. tidak bermaknakah guru itu? adakah segala pengorbanannya tidak membawa manfaat kepada dirinya sendiri?

alangkah baiknya kalau guru itu ibarat pelita, menerangi orang lain. disamping itu menggunakan segala bekalan yang bukan sahaja untuk orang lain malah diri sendiri. jadilah pelita yang menerangi alam, menggunakan bekalan dalam dirinya tanpa mengira penat lelah. renungi ungkapan ini.

apa-apa pun aku amat bersyukur kerana aku juga bakal bergelar insan yang bernama 'guru'. satu title yang amat mulia aku kira. teringat kata-kata mak aku "mak seronok bila dengar orang panggil 'cikgu', sebab tu kalau boleh mak nak ada seorang anak mak jadi cikgu".

mak juga pernah menyatakan hasratnya yang dulu juga pernah ingin menjadi seorang pendidik. tapi apa kan daya beliau tidak mampu, bukan dari aspek pendidikan, tetapi dari aspek kewangan. "orang perempuan dahulu tak boleh keluar rumah. buat apa belajar tinggi-tinggi? nanti jadi bini orang juga." itu zaman dahulu. kini banyak telah berubah, kakak aku juga seorang guru. mesti mak seronokkan? macam itulah harapnya.


Masih jelas diminda
bisikan suaramu..memanggil
Di situ langkahku bermula
mengejari cita..kau disisi

Lantas ku utuskan
lagu untuk menyatakan
terima kasih guru
kerna hulur tanganmu
ku menghargai setulus jiwaku
bicaramu guru
kan ku ingat selalu
menjadi azimat
hingga ke akhirnya

Guru..ibarat pelita
sentiasa menyinar
kamar hidupku..
Guru..kau pewaris ilmu
mendidik diriku
hinggaku berjaya

Andai diberi peluang
inginku terbang tinggi
di awangan kanku petik
bintang-bintang
ku jadikan hadiah untukmu
moga tuhan merahmatimu
Terima Kasih..


sedikit bunyi-bunyian sempena hari guru... selamat hari guru kepada semua guru-guru aku, rakan-rakan guru, ibu bapa aku (guru juga tu), alam sekeliling aku (mengajar aku untuk berdikari) dan sesiapa sahaja yang layak digelar pendidik. tanpa insan-insan ini, tidak mungkin aku kini juga bakal seorang guru... SELAMAT HARI GURU!